Thursday, November 3, 2011

JMG sumbang RM60,000 bekalkan sumber air alternatif sekolah

JMG sumbang RM60,000 bekalkan sumber air alternatif sekolah

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyumbang sebuah telaga tiub dan sistem rawatan air bawah tanah kepada Sekolah Al-Hidayah bagi membekalkan sumber air untuk kegunaan harian melibatkan aktiviti luar

Ketua Pengarah JMG, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, pembinaan telaga tiub yang menelan belanja kira-kira RM60,000 itu dilakukan selepas mendapat permohonan daripada pengurusan sekolah agama persendirian itu pada Mei 2009.

“Telaga tiub terbabit mengeluarkan 3.6 meter padu sumber air bawah tanah sejam yang didapati pada kedalaman 23 meter hingga 27 meter.

“Selepas proses rawatan dan penurasan, ia selamat digunakan untuk kegunaan harian luar seperti membasuh dan mencuci,” katanya selepas menyerahkan telaga tiub dan sistem rawatan air bawah tanah itu kepada Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Al-Hidayah, Prof. Madya Ir. Abdul Aziz Omar.

Turut hadir Pengarah JMG Perak, Zainol Abidin Sulaiman dan Pengetua Sekolah Al-Hidayah, Zulkifli Ahmad.

Yunus memberitahu sumber air bawah tanah terbabit merupakan air liat dan tidak sesuai untuk kegunaan minuman.

Menurut beliau, sumber air tersebut mengandungi ion besi tinggi kerana tapak Sekolah Al-Hidayah merupakan bekas lombong bijih besi pada tahun 1970-an.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pembinaan telaga tiub sedikit sebanyak mengurangkan kos operasi sekolah agama persendirian tersebut.

Beliau berkata, sejak telaga tiub itu siap ada awal tahun ini, bil air Sekolah Al-Hidayah yang mempunyai 1,200 pelajar, guru dan kakitangan sokongan berjaya membuat penjimatkan sehingga 50 peratus kos utiliti.

“Sebagai sekolah swasta yang bergantung harap kepada yuran, bantuan kerajaan negeri dan sumbangan orang ramai, Sekolah Al-Hidayah bergelut untuk mengawal perbelanjaan mengurus.

“Sumber alternatif tersebut digunakan untuk kegunaan wuduk, air tandas dan menyiram pokok bunga,” katanya.

No comments:

Post a Comment